Tuesday, September 14, 2010

Kajian pasaran hasil tani

PENDAHULUAN- PENILAIAN PASARAN PRODUK PERTANIAN
Penilaian Pasaran adalah satu bentuk kajian pasaran yang bertindak sebagai kunci maklumat untuk petani menjalankan sesuatu projek pertanian. Hasil daripada kajian Penilaian Pasaran ini akan membantu pengusaha untuk menentukan jenis tanaman, masa penanaman , gred hasil dan masa tuaian yang diperlukan.
Pertanian adalah salah satu cabang perniagaan yang menghasilkan pulangan yang lumayan jika perancangan teliti dan tindakan yang tepat diambil sebelum dan semasa melaksanakan projek. Sebagai penyumbang penting untuk makanan manusia sejagat, ia adalah sumber pendapatan yang penting.
Pasaran produk pertanian bergantung kepada penawaran dan permintaan yang dipengaruhi oleh faktor-faktor persekitaran yang berhubungkait dengan keadaan sosial, ekonomi, politik dan geografi sesuatu kawasan itu. Terlalu banyak penawaran (bekalan) akan menurunkan harga dan menjejaskan pendapatan. Begitu juga sebaliknya. Bekalan pula bergantung kepada hasil tuaian sesuatu jenis tanaman pada sesuatu musim yang tertentu dengan kadar harga yang dipengaruhi oleh gred produk.
Harga pasaran produk pertanian dipengaruhi oleh faktor-faktor berikut:

a) Waktu penuaian
b) Kuantiti dan kualiti hasil
c) Permintaan daan penawaran
d) Persaingan

Pemasaran yang berkesan akan mendatangkan pulangan yang lumayan bergantung kepada teknik pemasaran, pengendalian yang sempurna, kos pengeluaran yang kecil, jaminan kuantiti bekalan, pembungkusan yang baik, kecekapan operasi, bijak menganalisa tabiat pengguna, promosi, membina rangkaian saluran perniagaan, memanipulasi peluang dan menghasilkan produk yang berdaya saing.



Kaedah pemasaran produk pertanian terbahagi kepada segmen - segmen seperti berikut:-
Pengusaha - Pengguna
Pengusaha – Kilang – Pengguna
Pengusaha – Peruncit - Pengguna
Pengusaha - Pemborong - Peruncit - Pengguna
Pengusaha – Ejen – Pemborong – Peruncit – Pengguna

Kaedah pemasaran terus dari pengusaha kepada pengguna akan menguntungkan pengguna dari segi kesegaran hasil dan harga yang rendah, manakala pemasaran yang melalui pelbagai peringkat akan meningkatkan harga dan mengambil masa untuk sampai kepada pengguna.
Untuk menjadikan pertanian sebagai satu perniagaan, pengusaha hendaklah membuat kaji selidik terhadap perkara-perkara yang mempengaruhi pasaran. Kajian ini akan membantu pengusaha mengenalpasti jenis-jenis pasaran, jenis tanaman yang berdaya saing dan faktor-faktor yang mempengaruhi pasaran.
Terdapat 3 aspek Penilaian Pasaran yang biasa digunakan bagi membantu pengusaha membuat kaji selidik:-
1.0 Permintaan Pasaran Tempatan
2.0 Permintaan Pasaran Luar
3.0 Permintaan Pasaran Tetap



1.0 PERMINTAAN PASARAN TEMPATAN
Pasaran tempatan produk pertanian lebih menjurus kepada keperluan harian pengguna seperti sayur-sayuran, buah-buahan, benih tanaman, herba, pokok bunga, makanan haiwan dan juga lain-lain produk.
Pasaran tempatan kebanyakannya berskala kecil. Walaupun begitu, pasaran boleh diperluaskan dengan kaedah-kaedah sediada seperti menyertai pasar tani anjuran FAMA, menyertai ekspo pertanian seperti MAHA, eskpo PELADANG, pasar awam dan sebagainya yang boleh memberikan pendedahan yang luas kepada pasaran yang lebih terbuka.
Contoh-contoh permintaan dari pasaran tempatan adalah seperti berikut:-
1.1 Pemborong di pasar awam
Kebanyakan pemborong di pasar awam sudah ada pembekal dan pelanggan tetap. Semasa membuat kajian, sila pastikan jumlah kuantiti keperluan sesuatu produk dan membuat anggaran keperluan tambahan dalam bekalan di masa akan datang.
Untuk mengelakkan persaingan dari jenis tanaman yang sama, pengusaha hendaklah mengambil langkah untuk menanam tanaman yang lain daripada yang terdapat di pasaran. Dengan demikian pengusaha dapat mengawal pergerakan harga dan mengawal pengeluaran.
Untuk menjadi pembekal kepada pemborong di pasar awam, kuantiti yang mencukupi diperlukan untuk menampung permintaan yang sentiasa berterusan. Produk tidak semestinya dilambak dengan banyak, sebaliknya bekalan mestilah cukup dan berterusan adalah penting untuk kekal berurusan dengan pasar awam.

Sekiranya pembekal gagal membekal dalam tempoh tertentu, pemborong akan beralih kepada pembekal yang lain dan pengusaha akan kehilangan satu cabang pemasar yang aktif.


1.2 Peniaga di pasar tani
Pasar tani adalah satu media yang membuka pasaran kepada petani untuk berhubung terus kepada pelanggan. Walaupun jumlah yang dapat dipasarkan tidak banyak, hubungan terus dengan pelanggan mendapat pulangan tunai yang segera dan dapat mempromosi produk secara langsung.
Pasar tani anjuran FAMA mempunyai rangkaian di seluruh negara. Peserta-peserta pasar tani adalah berdaftar dan beroperasi secara tetap di kawasan-kawasan yang telah ditetapkan. Perniagaan dijalankan secara teratur di bawah seliaan FAMA, dengan itu dapat dipastikan bahawa tiada produk-produk pertanian luar negara yang bersaing dengan hasil tani tempatan. Ini akan menjamin persaingan yang sihat di kalangan petani tempatan yang mana akan melahirkan usahawan tani yang tulen.
Membekalkan produk kepada peniaga di pasar tani memerlukan kecekapan menguruskan masa menuai dan mengangkut hasil tanaman kerana hanya produk segar dipasarkan di pasar tani.

1.3 Peraih di ladang
Terdapat juga peraih yang datang terus ke ladang untuk mendapatkan hasil pertanian. Peraih di ladang selalunya terdapat di ladang-ladang kelapa sawit dan di kebun kelapa. Terdapat juga keadaan di mana peraih menyediakan buruh untuk mengeluarkan hasil. Petani akan akan mendapat sebahagian hasil setelah ditolak upah dan lain lain kos berkaitan.
Urusan perniagaan begini dapat menjimatkan kos pengangkutan dan buruh. Walaupun begitu, pengusaha tidak dapat mengawal pergerakan harga dan sukar untuk mendapat harga yang baik.



1.4 Jual sendiri / kegunaan sendiri

Menjual sendiri produk akan mempercepatkan pulangan hasil dan pusingan tunai kepada pengusaha.

Selain itu hasil pertanian boleh digunakan untuk kegunaan sendiri yang merangkumi untuk makanan sendiri, makanan haiwan ternakan, produk industri asas tani seperti kerepek dan juga lain lain kegunaan indusri hiliran.

Terbahagi kepada bebrapa kaedah pemasaran secara individu iaitu:-

1- Menjual hasil di gerai sendiri dengan mendirikan kedai untuk menjual produk ataupun menjual di pasar-pasar pagi/ malam. Jualan secara terus selain mendapat pulangan segera, ia akan mengkaji tindakbalas pengguna terhadap produk yang dipasarkan. Selalunya akan terdapat tindakbalas terhadap mutu/ gred hasil, harga, jenis tanaman dan juga lain-lain pengetahuan am berkenaan hal-hal kawalan penyakit dan perosak. Ada juga pelanggan yang akan menempah benih atau bekalan dalam kuantiti tertentu.

2- Menjadi pembekal kepada kedai-kedai runcit atau peniaga perseorangan. Selalunya peniaga memerlukan bekalan dalam jumlah yang tetap. Ini akan mejamin pendapatan pengusaha dan kurang risiko persaingan.

3- Menghasilkan produk industri hiliran seperti kerepek pisang, cili jeruk dan sebagainya. Produk ini boleh terus dipasarkan kepada pengguna.

4- Menjual terus ke kilang-kilang yang memerlukan produk segar seperti jagung, cili dan nanas.

5- Memanafaatkan lebihan hasil untuk produk makanan ternakan atau baja organik.

2.0 PERMINTAAN PASARAN LUAR
Pasaran luar meliputi permintaan dari luar daerah atau negeri. Beberapa produk mendapat harga yang lebih tinggi di tempat lain kerana faktor-faktor yang mempengaruhi pengeluaran hasil dan penanaman seperti jenis tanah dan tanaman.
Contoh-contoh pasaran luar adalah seperti berikut:-
2.1 Pemborong dari luar daerah dan negeri
Tidak semua hasil pertanian di sesuatu kawasan untuk pasaran setempat. Selera pengguna memainkan peranan penting dalam pemilihan tanaman yang sesuai untuk sesuatu kawasan. Walaupun begitu, terdapat beberapa jenis produk yang kurang mendapat perhatian di sesuatu tempat tapi mempunyai permintaan yang tinggi di tempat lain. Contohnya, ada sesetengah jenis pisang yang kurang laku di satu negeri tetapi tidak di negeri lain walaupun di tempat ia di tanam terdapat bekalan yang banyak.
Selalunya pemborong dari luar akan mengambil produk tersebut dalam kuantiti yang banyak untuk memenuhi permintaan di tempat tersebut. Pengusaha perlu bijak mencari peluang untuk memasarkan produk ke luar dari kawasan kebiasaan.
2.2 Jualan sendiri ke luar daerah dan negeri
Ada sesetangah produk mendapat harga yang lebih tinggi di tempat lain. Pengusaha yang dapat memanipulasi keadaan ini akan mendapat pulangan yang berganda. Tanpa perlu menunggu pemborong datang mendapatkan bekalan, pengusaha boleh memasarkan sendiri produk ke luar daerah yang lebih banyak permintaan.
Tindakan begini akan mengelakkan lambakan hasil di tempat sendiri. Dalamasa yang sama, produk yang mendapat sambutan di tempat lain akan mengurankan risiko persaingan produk yang sama. Semasa menjual produk sendiri ke luar daerah dan negeri, perlu mengambil inisiatif untuk memperkenalkan beberapa industri hiliran berasaskan produk tersebut dan juga memperluaskan pasaran kepada pelanggan baru. Ini akan meningkatkan permintaan di masa hadapan.

3.0 PERMINTAAN PASARAN TETAP
Pasaran Tetap selalunya bersandarkan kepada perjanjian perniagaan yang melibatkan dokumen-dokumen dan syarat-syarat yang tertentu.
Terdapat keadaan di mana pengusaha yang mendapat tawaran kontrak dari syarikat persendirian yang menyediakan segala input pertanian seperti benih, peralatan, peralatan pengairan dan sebagai balasan, segala hasil pertanian akan dijual semula kepada syarikat tersebut.
3.1Kontrak Perladangan ( Farming Contract)
Terdapat keadaan di mana pengusaha yang mendapat tawaran kontrak dari syarikat persendirian yang menyediakan segala input pertanian seperti benih, peralatan, peralatan pengairan dan sebagai balasan, segala hasil pertanian akan dijual semula kepada syarikat tersebut. Harga selalunya ditetapkan semasa perjajian. Walaupun pengusaha tidak mendapat keuntungan yang maksima, pulangan adalah berterusan dan hasil tuaian mendapat pemborong yang tetap.
Contoh yang terdapat setakat ini ialah tanaman serai wangi, ternakan cacing, ternakan lintah dan sebagainya.
Pengusaha hendaklah meneliti segala kontrak dan dokumen sebelum bersetuju menyertai Kontrak Perladangan untuk mengelakkan terjebak dalam sindiket penipuan.
3.2 Kontrak dengan kilang pemerosesan hasil
Ada pengusaha yang mendapat tawaran membekalkan produk pertanian dari syarikat dan kilang besar yang memperolehi bekalan dari seberapa banyak pembekal yang boleh didapati untuk menjamin bekalan yang banyak dan mencukupi.
Tebu dan nanas adalah du contoh produk pertanian yang mendapat permintaan yang tinggi dari kilang memproses minuman seperti Yeo’s, manakala tomato dan cili amat diperlukan kilang memproses sos seperti Jalen. Lain-lain produk adalah seperti jagung yang diproses sebagai jagung cawan oleh kilang Daily Fresh.
3.3 Kontrak dengan pemborong
Kelebihan kontrak dengan pemborong ialah harga telah ditetapkan terlebih dahulu berdasarkan kepada gred hasil. Hasil-hasil tanaman akan terus diambil pemborong bergantung kepadda kuantiti yang telah ditetapkan.
Contoh tanaman yang selalunya mendapat kontrak dengan pemborong adalah seperti jambu batu, tembikai, betik (pokok tahun), pisang yang dijual secara segar.
Penguasaha akan menikmati harga tetap (sepanjang tahun) mengikut perjanjian dan gred kerana walau harga rendah, hasil tuaian tetap diambil oleh pemborong, tiada risiko membuang hasil lebihan.
Selalunya kontrak dengan pemborong meliputi jangkamasa yang panjang. Ini kerana pemborong sudah mengikat perjajian dengan pengguna sasaran seperti institusi (asrama, penjara, jabatan kerajaan) , kilang ataupun kontrak luar negara.

Ketiga-tiga kaedah Permintaan Pasaran Tetap ini hendaklah dikaji mengikut kesesuaian dengan kemampuan pengusaha. Walaupun jumlah permintaan besar, pengusaha akan berdepan dengan luas media tanaman yang terbatas, kuantiti yang sedikit dan gred yang rendah.

Sekiranya prasarana mencukupi, pengusaha yang mendapat tawaran daripada ketiga-tiga kaedah akan mendapat pulangan yang lumayan.





4.0 PANDUAN UNTUK MENENTUKAN JENIS TANAMAN BERDASARKAN PERMINTAAN
Setelah kajian pasaran dijalankan dan segala maklumat yang perlu sudah dikumpulkan, satu rumusan terhadap jenis kultivar yang perlu ditanam untuk memenuhi kehendak pasaran akan ditentukan.
Contohnya, sekiranya pengusaha hendak menanam cili untuk memenuhi kehendak pengguna waktu musim perayaan, penanaman hendaklah dibuat dua atau tiga bulan sebelum itu. Bagi pengusaha yang menggunakan teknik organik dan kompos, baja hendaklah disediakan tiga bulan lebih awal.
Jumlah pokok yang hendak ditanam pula bergantung kepada purata permintaan semasa. Luas kawasan penanaman mempengaruhi kuantiti hasil. Semakin luas kawasan, kos pengeluaran juga meningkat kerana pertambahan kos input dan buruh. Permintaan di musim perayaan hendaklah dipenuhi dalam masa yang singkat dengan kuantiti yang banyak. Sekiranya penuaian dilakukan selepas musim perayaan, kuantiti yang banyak akan mewujudkan lambakan di pasaran dan menurunkan harga.
Tanaman-tanaman lain yang dipengaruhi oleh permintaan semasa perayaan adalah seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan tanaman-tanaman yang diperlukan oleh industri hiliran seperti ubi kayu, keledek dan pisang.
Ada juga tanaman yang diperlukan oleh sesuatu kaum di negara ini yang diperlukan untuk upacara keagamaan seperti tebu, buah dan bunga nanas.
Jenis tanaman yang dipilih hendaklah dari jenis yang mendapat pasaran yang luas kerana pada masa yang sama pesaing-pesaing lain juga akan menanam tumbuhan dari jenis yang sama.
Sekiranya pengusaha memilih untuk menanam tanaman yang tidak bergantung kepada faktor musim perayaan, bekalan mestilah sentiasa mencukupi dan berterusan.
Lain-lain faktor yang mempengaruhi jenis tanaman ialah cuaca dan musim panas / hujan. Buah-buahan dan sayur-sayuran seperti tembikai, labu dan labu air hendaklah dijangka akan dituai semasa musim panas.
5.0 FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI PASARAN
Kesesuaian pasaran sesuatu tanaman itu bergantung kepada faktor-faktor berikut:-
i) Jenis tanaman
ii) Penawaran dan permintaan
iii) Lokasi
iv) Bentuk mukabumi dan kualiti tanah
v) Kuantiti dan saiz
vi) Cuaca dan musim
vii) Masa - jangka hayat produk pertanian
viii) Tenaga buruh
ix) Pengangkutan
x) Kaedah penanaman-konvensional atau organik


5.1 JENIS TANAMAN (TANAMAN KONTAN)
Terdapat banyak jenis tanaman kontan yang boleh dikomersialkan. Pengusaha hendaklah memilih jenis tanaman yang bersesuaian dengan kehendak pasaran. Ada tanaman yang sering menjadi pilihan, tetapi amat sukar untuk dipasarkan kerana lambakan hasil tanaman dari jenis yang sama yang sama. Tanaman-tanaman yang popular dan sering menjadi pilihan pengusaha adalah seperti berikut:-

5.1.i Sayur-sayuran
a) Cili
b) Kacang Panjang
c) Bendir
d) Terung
e) Tomato
f) Kangkung
g) Timun

Di antara tanaman-tanaman di atas, cili ialah pilihan utama walaupun ia memerlukan penjagaan yang rumit.
5.1.ii Buah-buahan / Ubi
a) Pisang
b) Ubi kayu
c) Ubi keledek
d) Keladi
e) Tembikai
f) Betik
g) Nanas
h) Jagung
i) Buah Naga
Tanaman seperti pisang memerlukan kawasan yang luas, namun sayur-sayuran boleh ditanam secara selingan di celah baris.

5.1.iii Tumbuhan herba
a) Misai kucing
b) Stevia
c) Serai Wangi
d) Mas Cotek
Tumbuhan herba mempunyai nilai pasaran yang tinggi. Pasaran bagi sesetengah pokok herba amat luas dan permintaannya tidak terbatas, bergantung kepada khasiatnya.

5.1.iv Tanaman lain
a) Tembakau
b) Halia
c) Kunyit
d) Lengkuas
e) Serai
f) Roselle
g) Tebu
h) Pokok Bunga Hiasan
Kebanyakan tanaman di atas merupakan sumber pendapatan utama pengusaha bagi sesetengah tempat, tetapi tidak di tempat lain.

5.2 PENAWARAN DAN PERMINTAAN
Kejayaan sesuatu perniagaan bergantung kepada keupayaan untuk memanipulasi keseimbangan di antara penawaran (supply) dan permintaan (demand) kerana faktor-faktor ini mempengaruhi harga. Semakin tinggi permintaan, semakin tinggi harga sesuatu produk. Penawaran yang tepat akan menstabilkan harga, tetapi bekalan yang berlebihan akan menjatuhkan harga,
Kajian hendaklah dijalankan untuk meneliti pola dan tabiat pengguna dalam berbelanja sebelum memulakan untuk mengusahakan sesuatu tanaman. Sekiranya telah terdapat tanda-tanda ada pesaing di dalam mengusahakan produk yang sama, hendaklah membuat pilihan samada untuk meneruskan projek atau tidak.
Adalah tidak mustahil jika ada sesetengah pengusaha berkeupayaan untuk memonopoli sesuatu produk. Contohnya tanaman labu. Jarang berlaku terdapat dua atau tiga pengusaha di dalam satu-satu kawasan. Pengusaha mempunyai kelebihan untuk menentukan harga. Namun, kuasa beli terletak di tangan pengguna dan boleh membuat pilihan untuk tidak membeli jika harga terlalu tinggi.
Ada sesetengah produk boleh disimpan untuk waktu yang agak lama seperti ubi dan pisang manakala ada produk yang pendek jangka hayatnya seperti sayur-sayuran dan buah-buahan seperti tembikai.
Produk yang pendek jangka hayatnya hendaklah dipasarkan dengan cepat.
Permintaan sesuatu produk memuncak pada musim-musim perayaan. Produk yang diperlukan dengan banyak semasa perayaan adalah seperti serai, lengkuas, kacang panjang, cili, tomato, timun, nanas, terung, kunyit dan lain-lain.
Dengan itu perancangan awal tentang waktu yang sesuai untuk memulakan tanaman adalah penting berdasarkan penawaran dan permintaan.



5.3 LOKASI
Taburan tanaman di Malaysia secara umumnya tidak ada garis geografi yang jelas. Terdapat persamaan dalam jenis tanaman yang diusahakan di lain-lain negeri di Malaysia. Perbezaan dikesan jika terdapat kelainan dalam struktur kombinasi jenis tanah, aras ketinggian, taburan hujan dan infrastruktur asas.
Negeri-negeri di pantai barat mempunyai corak tanaman yang hampir sama iaitu nanas, sayur-sayuran, ubi dan pisang. Begitu juga dengan negeri-negeri di pantai timur dengan tanaman seperti tembakau dan jagung mendominasi lain-lain tanaman. Kawasan di Malaysia Timur , Sabah dan Sarawak, yang kaya dengan suku etnik yang berbagai itu sendiri pula lebih kepada penanaman buah-buahan.
Ubi kayu dan pisang kurang ditanam di kawasan pantai timur. Ini kerana budaya memakan makanan ringan yang berbeza. Tidak seperti di pantai barat di mana mudah untuk mencari pisang goreng, kerepek pisang dan kerepek ubi, tetapi di pantai timur, keropok lekor adalah pilihan utama. Dengan itu pasaran untuk ubi kayu dan pisang adalah kurang di kawasan pantai timur berbanding pantai barat.


5.4 BENTUK MUKABUMI (TOPOGRAFI) DAN KUALITI TANAH
Keadaaan mukabumi sesuatu kawasan mempengaruhi pasaran produk pertanian kerana ia berhubung kait dengan perancangan logistik. Pasaran bagi sesetengah produk tidak dapat dilakukan di kawasan yang terlalu sukar untuk dilalui atau destinasinya dikawasan yang mukabuminya curam, berpaya atau berbukit tinggi.
Bentuk mukabumi yang ideal tidak semestinya tanah rata dan terletak di tepi jalan besar, tetapi mestilah mudah untuk dituju. Laluan yang bengkang-bengkok dan tidak rata akan merosakkan hasil tanaman. Keadaan sifat tanah di sesuatu lokasi juga berbeza. Tanah liat, tanah merah, tanah paya, tanah pasir dan tanah gambut adalah jenis-jenis tanah yang utama. Ada tempat yang baru diteroka yang subur dan ada tempat yang tanahnya sudah ‘mati’ akibat penggunaaan input kimia yang berlebihan.

Walaupun tidak ada petunjuk yang jelas, hasil pertanian di sesuatu kawasan mempengaruhi minat pembeli berdasarkan di mana tumbuhan itu ditanam. Contohnya tebu yang ditanam di kawasan tinggi yang kering adalah lebih manis kerana kandungan gula yang lebih tinggi daripada tebu yang ditanam di kawasan rendah yang lembab.

5.5 KUANTITI DAN SAIZ
Hasil pertanian dituai apabila masanya tiba. Bagi yang mengusahakan secara kecil-kecil, tidak terdapat masalah untuk memasarkan hasil kerana kuantiti yang sedikit. Tetapi, bagi penanaman berskala besar, lambakan hasil dalam tempoh yang singkat memerlukan kebijaksanaan dalam memasarkan hasil.
Terdapat perbezaan diantara kuantiti dengan saiz hasil pertanian. Satu kilogram cili, misalnya, kuantitinya lebih banyak, saiznya lebih kecil tetapi harganya lebih mahal berbanding satu kilogram jagung yang hanya beberapa tongkol kerana saiznya yang besar. Ini bermakna, satu lori kecil boleh membawa 1000 kilogram cili yang bernilai kira-kira RM8,000.00 berbanding jagung yang sama berat tetapi hanya bernilai kira-kira RM3,000.00. Kos pengangkutan dan buruh yang sama tetapi hasil yang berbeza.
Konsep kuantiti dan saiz ini terpakai untuk mereka yang mempunyai kekangan luas media tanaman. Pilihan yang tepat ialah tanaman yang boleh memberikan pulangan yang optima dengan memaksimakan saiz.

5.6 CUACA DAN MUSIM
Cuaca dan musim bukan sahaja mempengaruhi proses penanaman, malahan ia juga mempengaruhi keadaan pasaran produk pertanian. Buah-buahan terutama tembikai kurang laku semasa musim hujan. Permintaan untuk pisang pula meningkat pada musim tengkujuh sebab banyak kawasan yang musnah dilanda banjir. Tanah lembut menyebabkan pokok pisang senang tumbang.


Sayur-sayuran kurang laku pada peringkat awal musim hujan, tetapi permintaannya akan meningkat jika hujan berterusan. Ini kerana pada peringkat awal terdapat lambakan hasil. Hujan yang berterusan akan menyebabkan sayur cepat matang dan memusnahkannya. Walaupun pada dasarnya tumbuh-tumbuhan perlukan air, air yang banyak akan melemaskannya.
Cuaca panas selalunya memberikan hasil yang baik. Tetapi ini akan mengundang lambakan produk pertanian di pasaran daan akan menjatuhkan harga. Masalah lambakan produk pertanian boleh diatasi. Salah satu caranya ialah dengan menghantar produk kepada pengusaha industri kecil dan sederhana yang mengusahakan produk hiliran.

5.7 MASA – JANGKA HAYAT PRODUK PERTANIAN
Produk pertanian pada amnya adalah bahan organik yang mudah lupus dan mudah rosak. Masa untuk memasarkan produk segar adalah terhad bergantung pada jenis tanaman. Sayur-sayuran daan buah-buahan yang dituai hendaklah terus dipasarkan untuk mengekalkan nutriennya. Ada produk yang mempunyai jangka hayat yang lama seperti ubi, pisang, terung dan keledek berbanding dengan sayur-sayur daun yang cepat layu.

5.8 TENAGA BURUH
Memasarkan sesuatu produk tidak boleh bergantung kepada seseorang individu sahaja. Penggunaan tenaga buruh perlu untuk mengangkat, mengasing, menyusun dan membungkus produk.
Sekiranya sukar untuk mendapatkan tenaga buruh, hasil pertanian akan terbiar dan mudah rosak. Ini akan merugikan dari segi masa dan kos. Tenaga buruh yang berpengalaman akan mengendalikan produk dengan baik dan mengurangkan risiko kerosakan.
Kekurangan tenaga buruh selalunya berlaku diwaktu perayaan dimana pada waktu yang sama permintaan untuk produk pertanian memuncak. Kebanyakkan pekerja akan mengambil cuti perayaan. Kekurangan pekerja akan menyebabkan produk rosak dan tidak dapat dijual. Ini akan menyebabkan kekurangan bekalan di pasaran dan akan menjulang harga sesetengah produk. Bagi pengusaha yang berpengalaman, waktu inilah peluang untuk mengaut keuntungan yang maksima dengan memanipulasi kekurangan bekalan dan tenaga buruh.

5.9 PENGANGKUTAN
Salah satu aspek yang terpenting di dalam pemasaran produk pertanian ialah pengangkutan (logistik). Lambakan hasil pertanian yang dituai mesti diedarkan kepada pemborong atau pengguna seberapa segera yang boleh. 20 kilogram cili memang boleh diangkat dengan motorsikal, tetapi jika berat sudah menjangkau ratusan kilogram, corak pengangkutan yang lebih besar diperlukan. Kos pengangkutan hendaklah diambilkira sebagai kos pegeluaran. Ini kerana, caj pengangkutan berdasarkan kepada berat, saiz dan jarak destinasi. Sentiasa membuat tempahan awal kerana kelewatan adalah sesuatu yang amat dielakkan.

5.10 KAEDAH PENANAMAN - KONVENSIONAL ATAU ORGANIK
Pengguna sudah biasa dengan produk pertanian yang menggunakan kaedah penanaman konvesional yang menggunakan input yang terdiri dari bahan kimia. Namun, produk pertanian yang dihasilkan melalui kaedah penanaman secara organik semakin menguasai pasaran dengan permintaan yang semakin bertambah. Penanaman secara organik akan menghasilkan produk yang bagus dan mendapat harga yang lebih tinggi di pasaran.
Petani yang hendak menggunakan baja organik hendaklah merancang dengan teliti tentang tempoh penyediaan media tanaman. Contohnya, baja kompos disediakan tiga (3) bulan lebih awal sebelum penanaman dilakukan, supaya pada masa hasil dituai, permintaan terhadap produk kena pada masanya. Dalam tempoh tersebut perubahan cuaca dan kadar tinggi rendah paras air hujan akan mempengaruhi tanaman, hasil dan pulangan.
6.0 PASARAN PRODUK PERTANIAN
6.1 INPUT PERTANIAN
6.1.i BAJA
Baja adalah salah satu input pertanian yang sangat penting dan mempunyai permintaan pasaran yang luas. Terdapat beberapa jenis baja tetapi baja kimia dan baja organik adalah dua komponen utama. Selama ini sektor pertanian di dominasi oleh penggunaan baja kimia. Namun, pasaran untuk baja kompos juga luas dengan peningkatan yang ketara penggunaannya kebelakangan ini kerana timbulnya kesedaran tentang kesejahteraan alam. Banyak kawasan-kawasan pertanian yang mengalami tanah yang sudah rosak atau mati akibat penggunaan kimia yang berlebihan. Baja kompos mempunyai keupayaan untuk memulihkan fungsi biologi tanah. Kesan penggunaannya adalah sama dan selalunya lebih baik dari penggunaan baja kimia. Pembuatan baja kompos memerlukan kos yang minima, kawasan yang sederhana luas, bahan mentah dan buruh yang mudah didapati dan mudah menguruskannya.
Hanya segelintir usahawan yang menjalankan perniagaan baja kompos, berbandingkan dengan peluang yang terbuka luas untuk mereka yang berani merebut peluang ini. Walaupun baja kompos mudah disediakan, ramai orang memilih untuk membeli produk yang sudah siap untuk digunakan. Inilah peluang yang terbuka kepada usahawan yang ingin mengusahakan perniagaan baja kompos.
6.1.ii BIJI BENIH
Biji benih tanaman lebih-lebih lagi dari baka yang baik akan mendapat harga yang tinggi di pasaran. Dengan pemasaran dan teknik pembungkusan yang baik, pengusaha boleh mendapatkan pulangan yang lumayan.
B

1 comment: