Monday, July 12, 2010

ilmu ini percuma untuk kamu semua

KOMPOS DAN KEGUNAANNYA

1.0 PENGENALAN

Terdapat beberapa kaedah yang dipraktikkan dalam usaha untuk memaksimakan hasil pengeluaran dalam satu-satu projek pertanian moden. Kejayaan kaedah ini bergantung kepada media tanaman yang bermutu dengan mengoptimakan input-input pertanian yang terdapat di pasaran. Baja kimia adalah satu pilihan konvensional dan penggunaan yang meluas. Namun, penggunaan baja kimia yang tertumpu kepada membekalkan nutrien kepada tumbuhan tidak lestari dalam memperkaya kualiti tanah dan menyumbang kepada deposit-deposit kimia ke dalam media tanaman.
Dengan kesedaran terhadap kelestarian alam, penggunaan baja kompos semakin meluas dan mendapat sokongan ramai pengusaha pertanian. Ia melibatkan kos yang minima, selamat dan meningkatkan fungsi biologi tanah. Kualiti tanah akan terjamin.
Baja kompos organik menyuburkan tanah dengan meningkatkan kesihatan tanah melalui tindakan mikroorganisma atau cacing. Kandungan mikrob ini membantu memecahkan kandungan kompleks nutrien dalam tanah kepada bentuk lebih ringkas yang mudah diserap oleh tumbuhan untuk pertumbuhan yang sihat.
Pembuatan baja kompos adalah satu proses semulajadi. Ia adalah bahan organik yang telah reput. Percampuran bahan-bahan organik ini yang melibatkan sampah seperti dedaunan, ranting kayu, najis haiwan, air, udara, cacing, semut, kulat dan bakteria akan membentuk satu komuniti khas yang dikenali sebagai komuniti detritus . Komuniti ini dalam tempoh yang tertentu akan memecahkan bahan-bahan ini dan menukarnya kepada nutrien yang berguna kepada semua tumbuh-tumbuhan.
Pembuatan baja kompos tidak memerlukan kawasan yang luas. Bahan-bahan organik yang diperlukan boleh diperolehi dengan mudah dan dalam kuantiti yang banyak.

Tumbuh-tumbuhan yang menggunakan baja kompos hidup lebih subur, sihat, bersih dan menghasilkan tuaian yang lebih baik. Persekitaran juga lebih baik kerana sampah kini telah bertukar menjadi baja kompos.



2.0 KOMPOS-SATU PROSES KITAR SEMULA
Penggunaan baja kompos adalah satu proses kitar semula. Kebijaksanaan mengitar semula adalah menjimatkan dan menyelamatkan alam sekitar kerana punca pencemaran alam sekitar yang paling ketara ialah melalui pembuangan sampah. Pengitaran semula juga mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau yang menjadi agenda utama kerajaan dalam menghijaukan negara.
Adalah tidak mustahil jika di dalam masa yang terdekat semua sisa makanan yang hendak dibuang seperti buah-buahan, sayuran, kulit telur, rumput, daun-daun pokok, serbuk teh dan kopi dikumpulkan untuk dijadikan baja kompos.
Cara yang biasa dilakukan untuk menghapuskan sampah ini ialah dengan melonggokkan bahan yang berguna ini di tempat pembuangan sampah. Pembuatan baja kompos menggunakan bahan organik ini dengan mengitar semula sampah kepada humus yang kaya dengan nutrien.
Perniagaan baja kompos juga boleh mendatangkan pulangan yang lumayan. Kos pembuatan yang murah akan memaksimakan keuntungan. Apa-apa sahaja bahan organik boleh menjadi baja kompos.
Pembuatan baja kompos dapat membantu menyelesaikan banyak masalah alam sekitar jika dilakukan dalam sesebuah komuniti dan disertai oleh ramai individu. Hampir 40 peratus daripada sampah sarap domestik setiap hari terdiri daripada sayur-sayuran dan sisa dapur yang lain.
Bahan-bahan lain yang perlu untuk baja kompos yang hebat terdiri dari sisa najis haiwan seperti tahi kuda, lembu, kambing, kelawar, arnab, cacing dan tahi ayam.
Tahi kelawar (bat guano) adalah yang terbaik.




3.0 HUMUS- BAJA TANAH ASLI
Bau humus atau bau tumbuh-tumbuhan dan haiwan yang telah reput adalah kesegaran bau hutan yang asli. Humus adalah hasil pereputan bahan organik yang pecah menjadi bahan yang kaya dengan nutrient.

Baja kompos terhasil apabila elemen yang dipanggil “humus” ini wujud melalui proses haba dan respirasi yang dilakukan oleh organisma dalam tanah (cacing, semut, bakteria dan kulat).

Humus ialah baja tanah asli yang sangat baik yang boleh membantu membaikpulih tanah. Ia mengkayakan tanah dan mengurangkan bahan buangan disamping boleh membantu pokok membesar dengan lebih sihat dan lebih cantik tanpa memerlukan bahan kimia.



4.0 BAHAN ASAS PEMBUATAN KOMPOS
Proses penghasilan baja kompos hanya memerlukan beberapa elemen asas iaitu:
1- Bahan organik
2- Organisma tanah
3- Air
4- Oksigen
5- Haba.

Semua jenis tumbuh-tumbuhan boleh diguna dalam pembikinan kompos. Sayuran dan buah-buahan selalu menjadi pilihan kerana mudah didapati, cepat reput, tinggi serat dan sumber tenaga yang banyak. Begitu juga dengan hampas kopi dan teh, rumput kering, sisa tanaman pertanian dan bunga. Ia mengandungi nitrogen yang tinggi. Bahan-bahan organik lain adalah seperti ranting-ranting pokok yang kecil, daun-daun, habuk kayu, kulit telur, roti, pasta, cebisan kertas, kadbod dan tisu. Bahan-bahan ini tinggi dalam kandungan zat karbon.


Rumput yang telah dipotong adalah bahan terbaik untuk dibuat baja kompos dan ia juga mereput dengan cepat dan ia mengandungi serat/fiber yang tinggi dan memperbanyakkan kuantiti kompos. Ia memperbaiki pengudaraan, penyerapan air dan memerangkap kelembapan.

Kurangkan tumbuhan yang masam, tebal/keras dan berminyak kerana ia mengambil lebih masa untuk mereput.
Najis haiwan merupakan sumber nitrogen dan fosfat yang tinggi. Nitrogen merupakan sumber asid amino yang penting untuk pertumbuhan daun dan klorofil, tanpa nitrogen pengeluaran hasil tanaman akan merudum. Fosfat penting untuk perwarisan baka serta untuk membina enzim tumbuhan. Unsur fosforus memastikan penyerapan cahaya matahari ditukarkan kepada unsur genetik tumbuhan dalam bentuk asid nukleik. Asid nukleik berfungsi dalam membawa genetik tumbuhan dan pembesaran akar.
Najis haiwan yang paling baik dibuat baja dalam dunia ini adalah tahi kelawar / guano. Ia merupakan sumber fosfat dan nitrogen yang tinggi serta mengandungi mineral. Guano tidak berbau kuat dan banyak didapati dalam gua. Tahi kambing juga mengandungi fosfat yang tinggi dan baik untuk pembungaan pokok. Pemakanan kambing terdiri daripada tumbuhan dan herba-herba menyebabkan tahi kambing mengandungi banyak khasiat dan nutrien.
Tahi lembu boleh di dapati dalam kuantiti yang banyak dan lebih murah. Tahi lembu mengandungi benih rumput, jika tidak direputkan dahulu, spesis rumput baru boleh tumbuh di atas tanah. Tahi ayam mengandungi nitrogen yang tinggi kerana ia mengandungi urea dan hidrogen sulfida. Sebaik-baiknya tahi ayam direputkan dahulu sebagai kompos untuk menyahtoksikkan urea dan hidrogen sulfida kepada bentuk nitrat dan asid amino yang berfaedah kepada pokok.

Najis-najis haiwan hendaklah direputkan/dijadikan kompos dahulu sebelum digunakan. Jika digunakan terus ia akan memudaratkan tanaman.




5.0 CARTA BAHAN-BAHAN UNTUK MEMBUAT KOMPOS
Bahan-bahan untuk membuat kompos adalah seperti berikut:-
Bahan Yang Digalakkan Bahan Yang Tidak Digalakkan
Alfalfa - sumber nitrogen Arang , Abu Barbekeu - mengandungi sulfur oxide
Epal - sumber phosporous & potassium Sisa makanan dimasak-mengandungi lemak
Kulit Pisang - sumber phosporous & potassium Benih Yang Bercambah
Makanan ubi- sumber magnesium, kalsium & nitrogen Bahan makanan tenusu
Makanan berdarah- sumber nitrogen Air basuhan pinggan mangkuk-mengandungi kimia, gris dan sodium
Makanan bertulang- sumber nitrogen & phosporous Najis Anjing
Sisa citrus- sumber phosporous & kalsium Lemak, gris dan minyak - membusuk dan menarik perhatian binatang.
Serbuk Kopi Sisa Ikan - mengandungi minyak ikan dan menarik perhatian binatang.
Tongkol jagung, Anggur, Rumpai Bijirin- mengandungi lemak, mengeluarkan bau dan menarik perhatian tikus dan perosak
Sisa makanan sayuran dan buahan- sumber nitrogen Daging - menarik perhatian binatang dan perosak
Potongan Rumput- sumber nitrogen Mentega Kacang - menarik perhatian binatang dan perosak
Rerambut- sumber nitrogen Tulang - menarik perhatian binatang dan perosak
Daun, Jerami - sumber karbon Najis Kucing - mengandungi kuman penyakit Toxoplasma gandi atau Toxocara cati, cacing gelang.
Najis Haiwan- sumber nitrogen
Cendawan Najis- sumber bahan anti-perosak
Suratkhabar, Habuk Papan, Sisa Kayu - sumber karbon
Abu Kayu- sumber potassium



6.0 KAEDAH ASAS MEMBUAT KOMPOS
Bagi menghasilkan baja kompos kita perlu timbunkan bahan organik ini pada satu tempat. Bagi mengelakkan dari hidupan liar atau anjing, timbunan kompos boleh ditutup menggunakan jaring.
Proses ini akan mengambil masa bagi membolehkan organisma termasuk cacing membantu penghuraian bahan buangan dalam menghasilkan nutrien dan baja. Proses ini akan siap sekiranya warna tanah telah bertukar menjadi hitam. Tanah tersebut perlu digemburkan dari semasa ke semasa bagi membolehkan berlakunya peredaran udara dan kelembapan pada timbunan baja kompos tersebut.
Baja kompos ini juga mampu menjadi medium pembesaran yang kaya dengan humus dan nutrien dan merupakan bahan tambahan kepada tanah. Ia juga merupakan bahan penyerap yang akan mengumpul kelembapan dan mineral terlarut sebagai sokongan dan nutrien kepada tumbuh-tumbuhan.

7.0 MEMBINA LONGGOKAN BAJA KOMPOS

Membuat tempat untuk melonggok baja kompos adalah mudah. Sediakan kawasan berukuran seluas kira-kira 1.22 meter (4 kaki) hingga 1.52 meter (5 kaki) panjang kali 1.22 meter (4 kaki) lebar dan kira-kira 0.91 meter (3 kaki) tinggi.

Elakkan kawasan berhampiran pokok kerana pokok yang tumbuh berdekatan dengan longgokan baja akan bersaing dengan mikroorganisma untuk mendapatkan nitrogen.

Selain di tempat terbuka, boleh juga gunakan bekas air atau tong sampah buruk dengan membuat lubang pada tepi dan bawah bekas. Buatkan satu pintu yang terbuka di bawah bekas atau buangkan terus bahagian bawah tong. Dengan cara ini humus boleh dikeluarkan semasa menambah bahan buangan baru di bahagian atas, membolehkan proses penghasilan baja berjalan secara berterusan.

Bahan-bahan organik hendaklah dipotong kepada cebisan-cebisan kecil (1 hingga 2 inci) untuk mempercepatkan pereputan. Elakkan dari menambah banyak buah-buahan sitrus kerana bahan ini boleh membuatkan humus terlalu berasid dan ia mungkin akan merosakkan pokok-pokok. Jangan campurkan rumput yang sudah diracun.
Elakkan dari menambah rumput menjalar dan biji benih yang mungkin tahan reput. Jangan tambah najis kucing atau anjing pada longgokan baja. Najis kucing mengandungi bakteria perosak yang tahan reput. Daging, tulang dan sisa makanan berlemak harus dielakkan kerana menarik perhatian haiwan perosak seperti tikus. Makanan berlemak lambat reput kerana lemak boleh menghalang kemasukan udara yang diperlukan oleh mikrob pereput (thermophilic composting microbe) untuk membuat kerja mereka. Daun-daun reput hendaklah dicampurkan dengan tanah. Organisma tanah telahpun berada dalam bahan ini dan akan membina komuniti baru (komuniti detritus) dalam longgokan baja ini.

Bahan-bahan organik ini disusun secara berlapis-lapis (lebih kurang 2 inci) antara sumber nitrogen (bahan hijau-daun, rumput, dll) dan sumber karbon (bahan coklat-kayu, najis, dll).

Kadar kelembapan yang betul juga penting untuk menghasilkan baja yang sihat. Mikroorganisma memerlukan persekitaran yang lembap untuk penghantaran nutrien. Jika timbunan itu terlalu kering, proses penghasilan baja berjalan perlahan. Jika timbunan itu terlalu lembap, tanah akan menjadi berat dan oksigen akan tertekan keluar, menyebabkan longgokan itu mereput dan berbau busuk. Longgokan harus dibiarkan lembap tetapi tidak basah, seperti span yang telah diperah. Cuba gunakan air hujan sebanyak mungkin untuk mengekalkan kelembapan longgokan.

Organisma tanah dan bakteria memerlukan oksigen untuk hidup. Tanpa bekalan oksigen yang berterusan, organisma yang penting ini akan mati dan akan digantikan dengan organisma yang anda tidak perlukan. Jika ini berlaku, longgokan baja anda akan mula berbau busuk. Untuk mengelakkan ini berlaku, longgokan baja mestilah dibalik-balikkan sekali dalam tiga minggu untuk membawa bahan yang di bawah ke atas dan sebaliknya.

Satu longgokan baja kompos mempunyai “suhu optima” di mana proses pereputan berlaku paling cepat. Walau bagaimanapun, hawa di kawasan tropika sudah cukup sesuai untuk penghasilan baja. Kompos yang baik tidak berbau busuk. Baja kompos akan sempurna dalam tempoh tiga bulan atau kurang.


8.0 KESEIMBANGAN NISBAH KARBON / NITROGEN (C:N RATIO)
Keseimbangan nisbah karbon/nitrogen (C:N Ratio) menggambarkan berapa banyak bahan yang menggandungi karbon berbanding nitrogen. Nisbah C:N yang ideal ialah kira-kira 20:1 hingga 30:1 (iaitu 20 hingga 30 bahagian karbon berbanding 1 bahagian nitrogen). Sekiranya bakteria diberikan bahan organik dengan nisbah ideal sebegini, ia akan membiak dengan cepat. Lebih kandungan karbon akan melambatkan proses manakala lebih kandungan nitrogen akan mengakibatkan bau busuk dan berlendir.
Nisbah yang tepat akan menghasilkan baja kompos yang tidak berbau.

9.0 PERTANIAN MENGGUNAKAN BAJA KOMPOS
Petani yang hendak menggunakan baja kompos hendaklah merancang dengan teliti tentang tempoh penyediaan media tanaman.
Ini adalah kerana baja kompos hendaklah disediakan tiga (3) bulan lebih awal sebelum penanaman dilakukan. Ketika baja kompos hampir sempurna, media semaian akan dibuat untuk menyemai benih dan tapak tanaman akan dibersihkan untuk memulakan proses penanaman.
Baja kompos boleh dicampurkan ke dalam media semaian semasa menyemai biji benih.
Selepas benih dipindahkan, baja kompos ditabur di keliling pokok dengan kadar kira-kira 30 mg (satu sudu) sepokok. Baja kompos akan membekalkan nutrien sehingga pokok tersebut bersedia untuk mengeluarkan hasil. Walaupun pada kaedah biasa baja kompos hanya sekali diperlukan semasa proses penanaman, air akan melarut dan menghanyutkan nutrien penting. Adalah baik sekiranya dibubuh baja kompos semasa proses pembungaan untuk menghasilkan buah yang baik. Kelebihan baja kompos ialah ia tidak memudaratkan pokok jika terlebih sedikit dari sukatan biasa.
Sekiranya petani mengusahakan kebun dengan tujuan untuk pasaran, beberapa faktor yang mempengaruhi tanaman dan pasaran hendaklah diteliti. Faktor-faktor tersebut adalah tempoh penanaman, cuaca, hujan dan juga faktor ekonomi yang melibatkan pasaran, permintaan, penawaran, pengangkutan, buruh dan juga faktor-faktor lain seperti politik dan sosial. Sekiranya tempoh matang sesuatu tanaman ialah 3 bulan, petani perlu bersedia 6 bulan lebih awal kerana perlu menyediakan kompos untuk 3 bulan pertama. Dalam tempoh tersebut perubahan cuaca dan kadar tinggi rendah paras air hujan akan mempengaruhi tanaman, hasil dan pulangan. Perlu untuk memastikan bahawa pada waktu menuai hasil akan terdapat permintaan. Pengeluaran hasil semasa perayaan biasanya mendapat keuntungan yang berganda, tetapi dalam waktu yang sama akan melibatkan kesukaran mendapatkan buruh dan pengangkutan.


10.0 PASARAN BAJA KOMPOS
Pasaran untuk baja kompos adalah luas dengan peningkatan yang ketara penggunaannya kebelakangan ini kerana timbulnya kesedaran tentang kesejahteraan alam. Banyak kawasan-kawasan pertanian yang mengalami tanah yang sudah rosak atau mati akibat penggunaan kimia yang berlebihan ataupun faktor-faktor lain seperti senario pertukaran jenis tanaman, pembangunan persekitaran yang tidak terkawal, perlombongan dan kuari, perubahan ekologi, peningkatan suhu global dan sebagainya.
Kesedaran terhadap pentingnya kembali kepada alam adalah amat penting dalam merangka kesinambungan corak hidupan masa hadapan. Alam yang tercemar sekarang tidak akan pulih dengan sendirinya tanpa kerjasama dari penghuninya. Penggunaan baja kompos yang terdiri dari bahan-bahan organik akan menyumbang kepada kelestarian hidup ini.
Baja kompos mempunyai keupayaan untuk memulihkan fungsi biologi tanah. Kesan penggunaannya adalah sama dan selalunya lebih baik dari penggunaan baja kimia.
Sekiranya dikaji, hanya segelintir usahawan yang menjalankan perniagaan baja kompos, berbandingkan dengan peluang yang terbuka luas untuk mereka yang berani merebut peluang ini.
Proses pembuatan baja kompos hanya memerlukan kos yang minima, kawasan yang sederhana luas, bahan mentah yang mudah didapati dan mudah menguruskannya. Kos buruh juga tidak terlalu mahal dan tidak memerlukan kepakaran yang khusus.
Pembuatan baja kompos tidak memerlukan bangunan kilang yang besar dan pekerja yang ramai. Ia adalah produk yang mesra alam yang tidak memudaratkan manusia, tumbuhan dan haiwan. Dengan itu ia boleh diproses hampir di mana sahaja.
Walaupun baja kompos mudah disediakan, ramai orang memilih untuk membeli produk yang sudah siap untuk digunakan. Inilah peluang yang terbuka kepada usahawan yang ingin mengusahakan perniagaan baja kompos.
Baja kompos diperlukan sepanjang tahun. Tidak ada waktu yang tidak digalakkan untuk menggunakan baja kompos. Dengan itu, permintaan untuk baja jenis ini sentiasa ada. Usahawan perlulah mempelbagaikan kaedah pemasaran untuk menarik minat pembeli. Contohnya, mempelbagaikan saiz bungkusan yang mana pembungkusan baja kompos yang kecil untuk kegunaan domestik manakala bungkusan besar untuk kegunaan ladang. Perlu juga contoh-contoh testimoni hasil tanaman menggunakan baja kompos. Selain menghadiri ekspo-ekspo pertanian, produk juga boleh diiklan di internet.
Usahawan juga perlu mendedahkan diri kepada pengetahuan dan teknologi baru yang sentiasa berkembang dalam pembuatan baja kompos. Teknik-teknik baru ini akan mengoptimakan lagi proses pengeluaran dan memaksimakan pulangan, kerana ada teknik-teknik terbaru yang dapat memendekkan tempoh pembuatan kompos dan juga kaedah memperkayakan lagi nutrien dalam baja kompos.